Teori Kaunseling : Terapi Realiti
Terapi ini diasaskan oleh William Glasser seorang psikologis di California dalam tahun 1965. Terapi realiti berorientasikan tingkah laku secara menyeluruh yang melibatkan komponen doing, thinking, feeling dan physiology. Hal ini bermakna klien bertanggungjawab untuk memilih bukan sahaja apa yang mereka lakukan tetapi apa jua yang mereka fikirkan, rasai, dan mengalaminya secara fizikal. Dalam erti kata yang lain terapi ini menekankan kepada tingkah laku dan pemikiran.
Secara umumnya matlamat terapi realiti ialah untuk menyediakan suatu suasana yang boleh membantu klien bagi membina kekuatan psikologi (psychology strength) untuk menilai atau menghargai tingkah laku semasa. Ianya boleh digunakan dalam terapi atau kaunseling individu, kerja-kerja sosial, pendidikan, terapi kelompok, , kaunseling keluarga, kaunseling pemulihan, pengurusan institusi dan perkembangan serta kemajuan masyarakat.
Konsep Utama
Mengikut Amir Awang (1987), terapi realiti berbeza dengan teori-teori kaunseling dan psikoterapi yang lain kerana ia tidak mempunyai konsep-konsep tertentu. Antaranya:
- Terapi realiti menekankan bahawa tingkah laku yang tidak siuman adalah disebabkan pengabaian tanggungjawab. Menurutnya, apabila individu itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka akan menyebabkan timbulnya tingkah laku yang lazim.
- Terapi realiti juga memberi penumpuan kepada tingkah laku dan bukannya perasaan dan sikap. Menurut terapi ini apabila tingkah laku itu berubah maka sikap dan perasaan akan turut berubah.
- Tumpuan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas klien pada masa kini. Peristiwa yang lampau dan pada masa depan tidak diberi perhatian kerana sejarah yang lalu tidak boleh diubah. Begitu juga masa depan boleh menimbulkan kebimbangan semata-mata.
- Terapi realiti juga menekankan aspek-aspek positif seperti potensi individu, kejayaan, kelebihan dan kualiti positif yang ada pada individu tersebut. Melihat individu sebagai positif dan beroperasi dan bukan sebaliknya.
- Menggalakkan individu atau klien menilai tingkah lakunya sama ada yang positif atau negatif. Tingkah lakunya akan berubah setelah mengenal pasti tingkah laku itu dan ini akan menyedarkan individu itu tentang punca kegagalan pada masa kini.
- Terapi realiti ini juga menitikberatkan tanggungjawab. Sikap bertanggungjawab perlu dipelajari secara terus menerus sepanjang masa kehidupan.
Muhd Mansur Abdullah(1993), telah menjelaskan bahawa proses kaunseling terapi realiti adalah seperti berikut:
- Pemusatan utama kepada tingkah laku.
- Penumpuan kepada masa kini. Masa lalu tidak boleh diubah lagi.
- Klien mesti membuat suatu penilaian dan mengenal pasti ketewasan kendiri, tingkah laku tidak bertanggungjawab sebelum terdedah kepada pertolongan kaunseling.
- Kaunselor membantu klien membina suatu perancangan mengubah tingkah laku . Adalah penting perancangan itu dibuat dalam bentuk bertulis.
- Kaunselor menolong klien membuat suatu penglibatan menyiapkan rancangan.
- Kaunselor menjelaskan kepada klien bahawa alasan tidak menyiapkan rancangan tidak boleh diterima.
- Kaunselor tidak menyalahkan klien sekiranya gagal.
Terapi realiti dianggap paling mudah dipraktikan kerana ianya bersifat realistik dan praktikal untuk digunakan dalam banyak bentuk perkhidmatan kaunseling. Tujuan dan matlamat terapi ini ialah untuk mengatasi pelbagai masalah tingkah laku dan emosi yang negatif dikalangan remaja dan belia.
Di samping itu, kebolehkepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan individu untuk memimpin dirinya sebagai seorang yang bertanggungjawab telah memberikan suatu penghormatan dan sokongan moral kepada individu itu. Perkara ini merupakan suatu bentuk peneguhan dan motivasi dalaman yang amat kuat untuk membantu individu itu berusaha memperbaiki tingkah lakunya untuk mencapai matlamat masa depan dengan lebih berjaya.
Terapi realiti menitikberatkan tingkah laku yang boleh diukur dan dilihat. Maka, Sebarang perubahan yang berlaku dengan mudah dapat dikesan dan dinilai oleh klien itu sendiri. Keadaan ini mendorong klien untuk terus memperbaiki dan berusaha ke arah yang lebih baik.
Comments
Post a Comment