Anak penagih di hina..


HIDUP saya amat sukar. Sudahlah berbapakan seorang penagih, mak pula sakit. Saya sudah tiga tahun tamat belajar dari sebuah universiti dan sudah bekerja. Namun baru-baru ini saya diberhentikan kerja dengan alasan tidak munasabah.

Tambah menyedihkan, saya gagal ujian kerajaan buat kali keenam walaupun sudah berhempas pulas untuk lulus. Saya amat kecewa dengan takdir yang menimpa. Untuk teruskan hidup, saya ambil alih perniagaan emak dengan menjual buah-buahan. Saya berhempas pulas mencari wang untuk membantu keluarga. 

Namun pandangan negatif manusia di sekeliling membuatkan saya rasa amat berkecil hati. Dunia ini seolah-olah tidak adil untuk saya. Pada mulanya saya sering menangis dan bersedih, namun saya simpan dalam-dalam agar tidak nampak kekecewaan dan penderitaan yang dialami. 

Namun semakin hari saya semakin tertekan dengan konflik diri sendiri. Saya mahukan kerja yang baik agar mempunyai jaminan masa depan yang cerah. Saya ingin membalas jasa ibu yang banyak berkorban jiwa dan raga.

Ada kalanya saya rasa kehendak tuhan terbatas untuk saya terima sebagai manusia. Bertambah pilu hati ini bila kesukaran yang sedang dialami tidak diterima oleh insan yang kita cintai (A). Saya harapkan insan yang saya cintai sudi berkongsi rasa namun ia tidak memihak untuk saya. Saya amat sedih.


INSAN MERANA, 
Kelantan 



APABILA kesedihan disimpan lama, penderitaan akan bertambah. Justeru, Dr gembira apabila adik sanggup meluahkan kisah hidup adik. Meluahkan perasaan adalah satu bentuk katarsis yang dapat melegakan tekanan. Ia juga satu bentuk keberanian yang bukan semua orang boleh melakukannya. Tahniah Dr ucapkan. 

Dr dapat merasakan kesedihan dan bersifat empati dengan keadaan yang menimpa adik. Memang berat dugaan hidup adik. Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Begitu juga, manusia adalah kejadian yang unik dan setiap manusia mempunyai jalan hidup tersendiri. Direncanakan sebegitu untuk menguji tahap kekuatan diri. 

Adik menamatkan pengajian di universiti. Itu satu potensi diri. Adik boleh manfaatkan potensi diri itu dari pelbagai aspek. Seperti yang adik lakukan sekarang iaitu meneruskan perniagaan ibu, juga satu potensi diri. Adik melakukan perkara yang betul malah bertanggungjawab terhadap keluarga. Pada masa yang sama adik dapat membalas jasa ibu seperti mana yang adik harapkan. 

Adik juga sudah berusaha keras dengan bekerja. Walaupun diberhentikan kerja, apa yang lebih penting ialah adik sudah berusaha. Adik perlu berbangga dengan diri kerana mampu untuk memikirkan mengenai keluarga dan berada dekat dengan mereka. Teruskan juga usaha untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Jangan berputus asa. Manusia yang tidak berharap untuk menang sudah sedia kalah. 

Adalah lumrah bagi manusia untuk melihat kekurangan seseorang berbanding kelebihan yang ada. Pandangan negatif masyarakat terhadap keluarga memang dijangka. Anggaplah orang yang khianat selalu terhina. Pemikiran negatif yang ada hasil dari pandangan serong mereka perlu adik ubah. Beritahu diri bahawa adik memang sedih atas segala persepsi negatif mereka tapi kesedihan ini tidak boleh adik jadikan sebagai satu halangan untuk meneruskan kehidupan. 

Beritahu pemikiran dan diri, walau pun masyarakat berhak untuk mempunyai pandangan negatif mereka tersendiri, adik juga berhak untuk mempunyai harga diri yang tinggi. Adik berhak untuk berjaya di sebalik segala tohmahan orang sekeliling. Cakap-cakap masyarakat memang menyedihkan tapi tidak boleh menjadikan adik seorang yang gagal dalam hidup. Percaya dengan diri sendiri dan bina keyakinan yang tinggi dalam diri. 

Benar dalam usia dan peringkat perkembangan diri, adik memerlukan insan yang amat memahami situasi adik. Adik tidak mendapatnya dari insan yang dicintai. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Namun, soal jodoh dan kasih sayang adalah ketentuan hidup. Kasih sayang juga tidak boleh dipaksa. Secara perlahan-lahan, ambil masa untuk belajar melupakan A. 

Memang amat melukakan tapi cinta itu ibarat hujan. Bagaimana lebat pun ia turun, pasti akan berhenti. Isikan masa adik melakukan perkara-perkara yang dapat melupakan A. Untuk mengisi rasa kekosongan hati, adik juga boleh mencari kawan-kawan yang boleh diajak berbual. 

Islam mengatakan Allah tidak akan menimpa sesuatu di luar kemampuan seseorang. Setiap ujian ada hikmahnya. Allah SWT juga bersifat Maha Adil. Orang-orang yang dikehendaki Allah untuk mendapatkan hidayah adalah mereka yang membuka hatinya kepada hidayah, yang membuka akalnya kepada kebenaran, yang mencari dan menerima manhaj Allah dengan ikhlas dan jujur, dan tunduk kepada agamaNya dengan penuh ketaatan dan penyerahan. Mereka inilah yang akan ditolong oleh Allah untuk mendapatkan hidayah. 

Mengenai mereka ini, Allah berfirman :”Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketaqwaannya.” (QS Muhammad :17). Dr doakan adik adalah antara orang yang dikehendaki Allah untuk mendapatkan hidayahNya. 

Oleh, 
Dr. Sapora Sirun

Comments

Popular posts from this blog

Teori Kaunseling : Terapi Realiti

Di rogol bergilir-gilir

UPSI perkenal program Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal)